Banyak pihak telah memberikan pelbagai cadangan dan pendapat berhubung transformasi dunia pendidikan yang telah dikemukakan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini yang menyentuh tentang kedudukan peperiksaan awam UPSR, PMR dan SPM. Banyak idea yang bernas telah dilontarkan oleh pihak-pihak berkenaan yang mahu melihat dunia pendidikan negara diperkasakan supaya mampu melahirkan warga yang mampu bersaing di peringkat global pada masa yang akan datang. Kendati pun begitu ada juga beberapa idea dan pendapat yang lebih menjurus kepada fikiran "singkat" atau lebih tepat lagi berunsurkan emosional - cuba menangguk di air keruh hendak melepaskan geram kepada pihak yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pendidikan negara. Dalam kita memperkatakan tentang dunia pendidikan yang menjadi instrumen asas menentukan kejayaan pembangunan negara, setiap idea, cadangan dan pendapat hendaklah berpijak di bumi nyata supaya transformasi yang ingin dilaksanakan oleh KPM benar-benar bermanfaat kepada setiap generasi dan pembinaan negara untuk jangka masa panjang. Peperiksaan awam yang dilihat terlalu "membebankan" pelajar (sudah pasti sekolah dan guru) selain daripada "merimaskan" ibu bapa kerana setiap pelajar diukur kecemerlangan mereka daripada berapa banyak A yang diperolehi pelajar. Terlalu berorientasikan peperiksaan sehinggakan pemupukan jati diri dan pengukuhan sahsiah pelajar seolah-olah "dikesampingkan" atau lebih tepat lagi tidak menjadi matlamat utama. Maka jadilah situasi di mana setiap pelajar hanya memikirkan perlunya banyak A dalam mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan. Apa perlunya kita terlalu menekankan bilangan A tersebut? Adakah dalam dunia pendidikan realiti negara pada hari ini lebih banyak A melambangkan lebih hebatnya seseorang pelajar itu? Jika perlu, KPM harus berani mentransformasikan sistem peperiksaan awam supaya menjadi lebih mesra pelajar dan membuktikan demokrasi dalam pendidikan diberikan kepada setiap pelajar. Kita menyokong penuh usaha KPM yang ingin membuat transformasi peperiksaan awam. Jangan lupa pula dengan UPSR... Sehingga kini persoalan sejauh manakah korelasi mata pelajaran peperiksaan UPSR benar-benar menggambarkan memenuhi syarat keperluan pelajar untuk menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh. Terdapat juga kelas rancangan khas di sekolah yang ditetapkan sama ada RKA dan RK Sains. Yang peliknya, tiadakah pegawai yang cerdik pandai, bijaksana dan bijaksini yang duduk di KPM perasan bagaimanakah seseorang pelajar boleh menyambung pelajarannya di RK Agama sedangkan tidak ada mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran peperiksaan UPSR. Apakah kriteria yang digunakan untuk menguji pelajar ke RKA berdasarkan UPSR. Sepatutnya, untuk membugarkan RK Agama, mata pelajaran Pendidikan Islam hendaklah dijadikan mata pelajaran peperiksaan dalam UPSR. Kalau nak buat bukannya susah...
No comments:
Post a Comment